PENYERAHAN BANTUAN KEPADA ASNAF
Program penyerahan bantuan Kotak Rezeki Ramadan kepada golongan asnaf telah dilaksanakan oleh pihak Sekolah Islam Al-Akhyar sebagai salah satu inisiatif kebajikan sempena bulan Ramadan. Program ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di samping menyemai nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga sekolah serta masyarakat setempat.
Agihan bantuan ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada hari Jumaat, 13 Mac dari jam 2.30 petang hingga 4.00 petang dan diteruskan pada hari Sabtu, 14 Mac dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Majlis penyampaian bantuan telah diadakan di dua lokasi iaitu di Masjid An-Nur Perumahan Mara, Taman Desa Rahmat serta di Surau Rumah Pangsa Larkin.
Seramai 60 orang penerima dalam kalangan asnaf telah menerima bantuan yang disediakan. Daripada jumlah tersebut, seramai tujuh orang merupakan asnaf dari kariah Taman Desa Rahmat manakala seramai 53 orang lagi adalah dari kawasan Rumah Pangsa Larkin. Bantuan yang disalurkan adalah dalam berupa 10 kg beras, 5 kg minyak masak dan 2 kg gula bagi setiap penerima untuk membantu keperluan harian mereka sepanjang bulan Ramadan.
Beberapa orang guru dan staf Sekolah Al-Akhyar turut terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Selain menyampaikan bantuan kepada para penerima, mereka juga mengambil peluang untuk menyantuni golongan asnaf, bertanya khabar serta menyampaikan kata-kata semangat bagi menyemarakkan lagi suasana kebersamaan dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Pihak sekolah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Masjid An-Nur Perumahan Mara, Taman Desa Rahmat serta pihak Surau Rumah Pangsa Larkin atas kesudian membantu pihak sekolah dalam mengurus serta melancarkan proses agihan bantuan kepada para penerima.
Pihak sekolah berharap agar usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan di samping mengeratkan hubungan antara warga sekolah dengan masyarakat setempat.
#KotakRezekiRamadan1447H
#SekIslamAlAkhyar
#MenujuTakwa
#WeAimfortheBest








